Sesungguhnya Allah menyuruh orang mukmin dengan perkara yang Dia suruh para Rasul, maka dia berfirman yang bermaksud: Wahai sekalian Rasul, makanlah makanan yang baik-baik dan kerjakan amalan soleh. Sesungguhnya aku mengetahui apa yang kamu lakukan. Firmannya lagi yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, makanlah kamu daripada rezeki yang baik-baik yang kami kurniakan kepada kamu.
Kemudian Rasulullah SAW menceritakan mengenai seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut masai rambutnya lagi berdebu dia menadah kedua tangannya ke langit memohon doa: Wahai Tuhan! Wahai Tuhan! Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dibekalkan dengan bahan-bahan yang haram, maka bagaimana doanya diperkenankan. (riwayat Muslim, Kitab:al-Zakat, 1015).
Makanan yang Halal
Halal ertinya boleh, jadi makanan yang halal ialah makanan yang dibolehkan untuk dimakan menurut syariat Islam.
Segala sesuatu baik berupa tumbuhan, buah-buahan ataupun binatang pada dasarnya adalah halal dimakan, kecuali apabila ada nas al-Quran atau hadis yang mengharamkannya. Ada kemungkinan sesuatu itu menjadi haram kerana memberi mudarat bagi kehidupan manusia seperti racun, barang-barang yang menjijikkan dan sebagainya.
Allah berfirman yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya beribadat kepada-Nya. (al-Baqarah: 172)
Firman Allah SWT yang bermaksud: Hai sekelian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang sangat nyata bagi kamu. (al-Baqarah : 168)
Firman Allah yang bermaksud: Menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk. (al-A’raf : 157)
Rasulullah SAW, pernah ditanya tentang minyak sanin, keju dan kulit binatang yang dipergunakan untuk perhiasan atau tempat duduk. Rasulullah SAW bersabda: “Apa yang dihalalkan oleh Allah dalam Kitab-Nya adalah halal dan apa yang diharamkan Allah di dalam Kitab-Nya adalah haram, dan apa yang didiamkan (tidak diterangkan), maka barang itu termasuk yang dimaafkan”. (riwayat Ibnu Majah dan al-Tarmidzi).
Berdasarkan firman Allah SWT dan hadis Nabi SAW, dapat disimpulkan bahwa jenis-jenis makanan yang halal ialah:
- Semua makanan yang baik, tidak kotor dan tidak menjijikkan.
- Semua makanan yang tidak diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya.
- Semua makanan yang tidak memberi mudarat, tidak membahayakan kesihatan jasmani dan tidak merosak akal, moral, dan akidah.
Jika diperhatikan dengan penuh teliti ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW di atas, secara langsung menyuruh orang Islam memilih makan yang halal dan yang baik. Malahan perintah ini bukan sahaja ditujukan kepada orang awam malahan suruhan itu terlebih dahulu memerintah para Nabi dan Rasul a.s supaya beriltizam dengan sumber yang halal.
Ungkapan “halal lagi baik”, maksudnya halal dari sudut sifat makan itu dan baik bermaksud makanan yang berzat. Ini bertujuan supaya apabila makanan itu dimakan, ia bukan sahaja mengenyangkan dan pada masa yang sama dapat memenui keperluan jasad manusia dari sudut mineral dan vitaminnya. Makanan yang baik dan sihat tidak terlepas daripada pembuatannya iaitu dalam konteks pemprosessan mestilah mengikut acuan Islam,Islamic Manufacturing Practice (IMP) secara tidak lansung menepati konsep Good Manufacturing Practice(GMP).
Ini bermaksud Islam menganjurkan penganut mengamalkan sistem pemakanan yang seimbang dan sudah semestinya prosedur pembuatannya yang menepati syarak.
No comments:
Post a Comment